Tuesday, January 13, 2009


KUCHING 11 Jan. - Keadaan banjir di beberapa kawasan di negeri ini terutamanya di Kuching dan daerah Bau diramal bertambah buruk apabila seramai 3,773 penduduk daripada 629 buah keluarga dipindahkan ke 25 pusat pemindahan sementara hari ini.

Selain itu, hujan dijangka berlarutan sehingga Rabu ini manakala air pasang besar mencecah ketinggian 6.1 meter diramal berlaku pukul 5.30 petang ini.

Bagaimanapun, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa disebabkan banjir setakat ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, Kampung Suba Buan di Bau paling teruk dilanda banjir dan ditenggelami air sedalam 4.5 meter manakala dua buah rumah di Padawan rosak akibat tanah runtuh.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Negeri berkata, bekalan makanan kepada lebih 100 mangsa banjir di Kampung Suba Buan masih belum dapat dihantar menggunakan helikopter berikutan cuaca buruk.

"Sebaik cuaca pulih, agensi berkaitan akan menghantar helikopter dan bot untuk menyalurkan bantuan makanan serta memindahkan 108 penduduk yang terkandas di Kampung Suba Buan dan penduduk yang lain.

"Kesemua kawasan itu kini terputus hubungan akibat jalan-jalan utama dinaiki air," katanya pada sidang akhbar mengenai banjir di sini petang ini.

Hong Nam berkata, banjir di kawasan terlibat dijangka semakin buruk dengan awan yang mengandungi hujan berada di atas kawasan tadahan air.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 10 pusat pemindahan sementara dibuka di daerah Bau, diikuti Kuching (enam), Lundu (empat) manakala masing-masing satu di Serian dan Simunjan.
Beliau berkata, beberapa kawasan telah terputus hubungan akibat ditenggelami air antaranya di Kilometer Jalan Kuching-Sri Aman yang hanya boleh dilalui kenderaan berat, Jalan Bau-Serikin (tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan), Jalan Matang Baru (kenderaan berat sahaja) serta Jalan Lundu-Selampit (tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan).

"Jalan yang turut dinaiki air ialah Kilometer 6 Jalan Matang-Taman Malihah yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan, Jalan Mendu (tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan), Jalan Batu Kawa MJC (tidak boleh dilalui kenderaan ringan) serta Jalan Batu 24 Kuching-Serian (tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan).

"Di bahagian Sibu pula, dua jalan ditenggelami air iaitu Jalan Pedada dan Jalan Tun Zaidi yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja," ujarnya.

Sehubungan itu, Hong Nam mengingatkan mangsa banjir menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan pemindahan serta bekalan makanan di pusat-pusat pemindahan sementara yang disediakan.

Pada masa yang sama, beliau berharap semua wakil rakyat melawat kawasan mereka dan membantu dalam operasi pemindahan.

Dalam pada itu, operator bot yang berulang alik antara pesisiran pantai Kuching dinasihatkan supaya tidak meneruskan pelayaran berikutan jarak penglihatan yang rendah dan arus deras.

Mengikut Jabatan Pengairan dan Saliran, Bau yang berada di tebing Sungai Sarawak Kanan mencatat taburan hujan sebanyak 370 milimeter (mm) semalam berbanding 18mm Selasa lalu manakala Batu Kitang di Sungai Sarawak Kiri mencatat 216mm berbanding 3mm.

..:: My Enchanted Blog ::.. . 2017 Copyright. All rights reserved. Designed by Blogger Template | Free Blogger Templates